Selain menaiki kapal terbang untuk ke Langkawi, anda juga boleh pergi ke sana dengan menaiki feri. Terdapat dua jeti feri yang boleh anda naik untuk ke Langkawi. Satu di Jeti Kuala Kedah dan satu lagi di Jeti Kuala Perlis.
Pengalaman ke Langkawi dengan menaiki feri sangat berbeza dengan menaiki kapal terbang. Kalau kapal terbang, anda hanya akan nampak langit dan gugusan kepulauan Langkawi dari udara.
Tetapi kalau menaiki feri, anda akan merasai tiupan angin laut Langkawi dan keindahan pulau-pulau yang terdapat di Langkawi secara dekat.
Dan anda juga berpeluang untuk mengambil gambar pulau-pulau sambil menikmati perjalanan dari Semenanjung Malaysia ke Pulau Langkawi.

Berapa jenis feri yang ada?
Terdapat dua jenis feri yang boleh anda naiki untuk ke Langkawi iaitu feri penumpang dan feri kenderaan. Untuk feri penumpang, saiz ferinya lebih kecil dan lebih cepat sampai berbanding feri kenderaan.
Dan jika anda berhajat untuk bawa kenderaan anda sendiri masuk ke Langkawi, anda boleh pilih untuk menaiki feri kenderaan. Tetapi untuk feri kenderaan ini hanya boleh dinaiki dari Jeti Kuala Perlis kerana jaraknya lebih dekat berbanding Jeti Kuala Kedah.
Berapa lama naik feri ke Langkawi?
Perjalanan feri dari Jeti Kuala Kedah ke Langkawi mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit manakala kalau naik dari Jeti Kuala Perlis pula mengambil masa dalam 1 jam 15 minit sahaja.
Dan jika anda memilih untuk menaiki feri kenderaan, masa perjalanan mengambil masa dalam 2 jam 30 minit dari Jeti Kuala Perlis.

Berapa harga tiket feri ke Langkawi?
Harga tiket feri ke Langkawi adalah seperti di bawah.
Jeti Kuala Kedah ke Langkawi (sehala)
- Dewasa (12 tahun ke atas): RM26.50
- Kanak-Kanak (3 hingga 12 tahun): RM20.50
Jeti Kuala Perlis ke Langkawi (sehala)
- Dewasa (12 tahun ke atas): RM21.00
- Kanak-Kanak (3 hingga 12 tahun): RM16.00
Manakala bagi anda yang ingin bawa kenderaan masuk ke Langkawi, harga tiket bergantung pada CC dan saiz kenderaan.
Terdapat dua syarikat yang menyediakan perkhidmatan feri kenderaan ke Langkawi iaitu Langkawi Auto Express dan Langkawi Roro. Anda boleh rujuk di laman web mereka untuk dapatkan harga yang tepat.

Bagaimana cara nak beli tiket feri ke Langkawi?
Pembelian tiket feri boleh dibuat secara online di Cuti-Cuti Langkawi atau di kaunter tiket yang berdekatan dengan jeti. Tetapi digalakkan anda beli tiket secara online dan lebih awal terutamanya ketika di waktu puncak seperti cuti sekolah atau cuti perayaan. Sebab kebiasaannya tiket cepat habis di waktu-waktu sebegini.
Semoga artikel kali ini dapat membantu anda untuk dapatkan info macam mana nak pergi ke Langkawi dengan menaiki feri. Nanti bila dah sampai ke Langkawi, make sure anda pergi ke tempat-tempat menarik yang ada di sana.
